PANTAI PUTERI
Pantai Puteri atau dulunya dikenali sebagai Pantai Kundur mempunyai tarikannya yang tersendiri. Ia terletak dalam daerah Melaka Tengah berdekatan dengan pantai Klebang. Anda akan menemui pantai ini bila melalui jalan Tanjung Kling ke Alor Gajah iaitu kira-kira 12km dari bandaraya melaka.
Asalnya pantai Puteri adalah sebuah kampung nelayan yang telah menjalankan kegiatan perikanan sejak dahulu lagi. Tidak ramai yang mengenali pantai ini kecuali bagi kaki pancing dan penduduk tempatan tapi setelah nama pantai ini ditukar kepada Pantai Puteri dan pelbagai usaha dilakukan untuk memajukan pantai ini, ia menjadi satu lagi tarikan baru di Melaka. Setiap hujung minggu, pantai ini tidak sunyi dari pengunjung. Selain pengunjung dapat melihat pantainya yang cantik, pengunjung yang berminat dengan aktiviti memancing juga boleh lakukan aktiviti tersebut disini sama ada seorang diri atau bersama kawan-kawan. Kalau tidak pun pengunjung boleh melihat suasana kemeriahan kaki pancing duduk berbaris memancing ikan kerana aktiviti pertandingan memancing kerap dilakukan di sini. Kemudahan seperti medan makan, masjid dan tandas awam yang disediakan memudahkan lagi pengunjung untuk menjamu selera dan bersolat. Pohon-pohon Ru yang banyak ditanam ditepi pantai ini juga memang sesuai sekali bagi pengunjung yang ingin merehatkan fikiran sambil berkelah bersama keluarga. Aktiviti berkhemah juga sering diadakan oleh pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) awam serta swasta di pantai. Bagaimanapun pengunjung yang datang ke pantai ini akan berpuas hati kerana dapat menyaksikan lebih dekat aktiviti nelayan mendaratkan hasil tangkapan laut, selain melihat mereka mengait jaring dan menjemur ikan kering. |